Rabu, 15 Julai 2020

JAIM Adakan Pemantauan Cegah Orang Islam Berjudi

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melalui Bahagian Penguatkuasaan telah mengadakan operasi pemantauan dan pencegahan di premis judi sekitar daerah Melaka Tengah yang kembali beroperasi selepas ditutup sementara semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac yang lalu.

Seramai 8 orang Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) yang terlibat dalam operasi pemantauan tersebut. Sebanyak 16 buah premis perjudian telah diperiksa di sekitar daerah Melaka Tengah iaitu di Jln. Peringgit Jaya Melaka, Jln. Bendahara Melaka dan Jln. Tengkera Melaka.

Hasil pemantauan yang dilakukan mendapati aktiviti perjudian di kalangan orang Islam termasuk warga asing kembali aktif dan berleluasa setelah terhenti sepanjang tempoh PKP. Pada operasi kali ini, penguatkuasa agama mengambil tindakan ke atas orang Islam yang berjudi atau berada di premis judi. Di samping itu, pendekatan menyantuni dengan memberi nasihat dan menjalankan kempen kesedaran supaya orang Islam meninggalkan perbuatan berjudi yang ditegah dalam agama. Mereka juga diingatkan tentang kesalahan berjudi yang diperuntukkan dalam seksyen 81, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda sebanyak seribu ringgit atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.

                                                                           (Surah al-Mai’dah ayat 90)

Islam menjadikan judi sebagai satu kesalahan yang serius dan memandang hina terhadap apa jua bentuk judi. Judi disebut dan diharamkan bersama dengan perbuatan meminum arak, berkorban untuk berhala (syirik) dan menenung nasib. Kesemua ini adalah berdosa besar di dalam Islam.

Loading...